Rabu, 19 September 2018

Silat Warisan Bangsa

Pembabitan Yang Tak Dirancang

Melihat kain rentang "pengambilan ahli baru persatuan silat" yang digantung di lobi rumah, terdetik hati untuk menyambung ilmu persilatan yang telah lama terkubur sejak di Tingkatan 4.  Niat di hati hilang setelah pandangan kain rentang hilang dari pandangan.

Hari berganti hari, hari pendaftaran telah pun berlalu.  Namun kain rentang masih kekal di situ dan setiap kali terpandang, niat itu datang dan hilang.  Antara minat dan gerun, hati ini berbelah bahagi.  Suatu hari, aku dimakumkan bahawa pengambilan ahli baru masih lagi dibuka walaupun tarikh pendaftaran telah pun ditutup.

Aku dan anak-anak hadir pada hari latihan untuk mendaftar.  Namun, semangat ini tidak kuat untuk turut serta.  Ku biarkan anak-anak menjalani latihan, aku cuma duduk di tepi memantau, melihat dari kejauhan latihan nsilat yang mereka jalani.  Hati ini meronta-ronta untuk turut serta tapi.... melihat susuk-susuk tubuh yang menjalani latihan kebanyakkannya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja ku benamkan sedalamnya niat hati ini.

Saban minggu, anak-anak agak kurang keyakinan untuk menjalani latihan.  Anak-anak...jangan dibazirkan yuran yang telah dibayar, busana yang ditempah bukan sedikit duit yang dah dilaburkan.  Semangat terus diberikan, aku tetap menemani setiap minggu.  Sekurang-kurangnya tiga jam ku gunakan untuk menemani anak-anak menjalani latihan silat. 

Pembaziran waktu!

Demi mengisi tiga jam yang ku bazirkan di setiap hujung minggu, maka aku mengambil keputusan untuk turut serta menjadi ahli silat dan menjalani latihan bersama-sama dengan anak-anak.  Harapanku semoga anak-anak termotivasi apabila melihat kegigihan ibunya turut serta mengikuti latihan yang mereka lakukan.

Diawal pembabitan sememangnya agak janggal dengan tenaga pengajar yang seakan seusia dan lebih muda serta ahli-ahli yang rata-rata adalah dari kalangan kanak-kanak.  Demi ilmu dan minat yang lama terhenti ku redahi jua.

Alhamdulillah setelah beberapa bulan anak-anak dapat menyesuaikan diri dan tidak lagi teragak-agak dan takut-takut untuk hadir latihan.  Antara tujuan aku mennyertai silat dan menggalakkan anak-anak turut serta adalah disebabkan oleh faktor keselamatan di persekitaran yang kian mengundang bahaya.  Setidak-tidaknya, dengan adanya ilmu mempertahankan diri, dapat kami gunakan disaat-saat genting.  Bukanlah meminta untuk berlaku perkara yang tak diingini, tidak sama sekali tapi ini merupakan salah satu persediaan.

Ilmu persilatan juga dapat mendedahkan kita mengenai warisan bangsa Melayu yang kian dilupakan.  Anak-anak kini, sudah tidak didedahkan dengan warisan-waris.  Harapanku semoga warisan kita tetap kekal dikenali walaupun zaman beredar.  Anak-anak mudalah yang diharapkan untuk mewarisi segala peninggalan budaya nenek moyang kita.

Takkan Melayu Hilang Di Dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan