7 September 2018
Aku masih lagi bekerja pada tarikh ini. Namun, cuti rehat sepanjang minggu telah dipohon berikutan aku perlu menghadiri Minggu Perkasa Putra UPM. Hari ini, aku sebagai pelajar luar kampus mendapat pengecualian daripada menghadiri program Minggu Perkasa Putra. Peluang yang ada aku manfaatkan untuk berehat di rumah.
Hampir terlupa...rakan-rakan sepejabat ada menjemput aku untuk hadir ke pejabat bagi memeriahkan aktiviti makan-makan mereka. Sungguh aku rindu suasana makan dan minum beramai-ramai di pantry, bersembang tentang pelbagai isu daripada seberat-berat isu politik sehinggakan kepada isu melipat gunungan kain baju di rumah. Ukhwah yang terjalin sangat erat walaupun ada masanya kami bermasam muka, gaduh-gaduh manja itu semua lumrah 'adik beradik'.
Jam 4.00 petang aku tiba di pejabat. Agak lewat namun masa yang ada cukup kami melepaskan rindu. Kehadiranku disambut dengan aroma donat yang baru digoreng oleh tukang masak terhebat yang mesra ku gelarkan Kak La. Tanpa melengah masa sebiji donat yang baru dimasak ku jamah. Pantry ini memang sentiasa meriah lagi-lagi bila ada acara masak memasak. Ramah dan cekap sekali Kak La memasak sambil melayan kami menjamu selera lagak tak ubah seperti tuan rumah tatkala majlis keramaian. Selang beberapa minit sejurus aku sampai, Encik Ramlee seorang Juruvideo yang sangat berpengalaman masuk ke pantry menyertai kami. Susuk tubuh dan warna kulitnya mengingatkan aku kepada arwah abah yang aku rindui. Dia menegur akan kehadiranku "eh! kamu ada?". Mesra melayan sesiapa sahaja tak pernah lekang senyuman dari wajahnya. Selesa aku bergaul dengannya walaupun jarak usia yang jauh berbeza.
Encik Ramlee ku lihat seperti biasa gurau sendanya sentiasa menghiburkan kami. Namun pada hari itu, kami yang banyak mengenakannya. Dia hanya menerima gurauan kami dengan senyuman tanpa balasan seperti kebiasaan. Sempat rakan karibnya Haji Shaharudin meminta Encik Ramlee untuk membuatkan kopi O walhal telah tersedia 1 jag teh O di atas meja. Encik Ramlee tanpa banyak bicara bangun dari kerusi dan terus membuat kopi O sebagaimana ppermintaan sahabatnya. Baik sungguh Encik Ramlee bisikku di dalam hati. Segelas kopi diberikan kepada Haji Shaharudin. "Confirm ahli syurga!". Ayat yang keluar dari mulut Haji. Tersipu-sipu En.Ramlee bila kami semua "membahan"nya dek kebaikannya terhadap haji. Tiada sepatah kata balasan yang diberikan selain daripada senyuman. Dia mempelawa semua yang ada untuk merasa kopi yang dibuat. Aku minum secawan, pahit....
Kelat diwajahku tak dapat disorokkan lantas Encik Ramlee menegur "pahit ye?" aku mengiyakan tetapi tetap sedap balasku demi menjaga hatinya.
Jam menunjukkan 5.30 petang, aku meminta izin untuk pulang, rakan-rakan yang lain juga telah ramai yang pulang.
5.00 pagi, telefonku berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Ku baca mesej yang menyatakan Encik Ramlee bin Ibrahim telah kembali ke rahmatullah. Ramlee mana ye? getusku dalam hati. Bukan Encik Ramlee...dia baru aku jumpa petang tadi. Mataku pejam untukk menyambung tidur. Namun hatiku berdebar. Otakku terus berfikir siapakah yang bernama Ramlee di pejabat kami selain daripada Encik Ramlee yang ku kenali? Mana mungkin! Tidak...silap orang ni...
Aku taip mesej bertanyakan kesahihan berita itu. ternyata benar. Ya Allah! Air mata tak dapatku tahan. Innalillahhiwainnailahirojiun...
Mata tak dapatku pejam kembali. Hanya padaMu aku mengadu kesedihanku tatkala itu. Encik Ramlee telah pergi menghadap Illahi asbab sakit jantung semoga rohmu diletakkan bersama-sama golongan hambaMu yang beriman. Pagi Sabtu, aku bersama Kak La yang juga rakan karib Encik Ramlee ke rumah arwah untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya.