Ahad, 16 Disember 2018

Halwa Maskat Abah




“Saya nak jemput Perdana Menteri untuk jamuan Hari Raya kita nanti. PM suka halwa maskat, kuih apa tu? siapa yang pandai buat?” bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku.  Baru dua bulan aku ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dan menjadi Setiausaha kepada Dato’ Saleem namun sudah masak benar aku dengan karakternya yang agak kalut.  Walaupun begitu, beliau merupakan seorang ketua yang tegas, lantang dan baik hati terhadap semua tanpa mengira jawatan.  Setiap pagi mesti ada sahaja kuih muih dan juadah yang dibawa untuk disajikan kepada kami.  Jika tiada apa-apa mesyuarat dan urusan yang penting, beliau lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.  Soalan bertubi-tubi itu kujawab sepantas kilat, “Ayah saya pandai buat!”.  Kepakaran Abah dalam menghasilkan halwa maskat telah kuceritakan kepada Dato’ Saleem, tanpa ragu-ragu Dato’ Saleem menyatakan hasrat untuk menempah halwa maskat daripada Abah untuk dijamukan kepada Perdana Menteri Malaysia pada Jamuan Hari Raya Peringkat Jabatan.  
Teringat aku gembiranya Abah tatkala aku memberitahunya bahawa Dato’ Saleem hendak menempah kuih tradisional yang semakin dilupakan oleh masyarakat kini iaitu halwa maskat.  Halwa maskat adalah sejenis makanan tradisional masyarakat utara khususnya di Pulau Pinang.  Kampungku yang terletak di Parit Buntar, Perak merupakan penghujung Perak dan bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah.  Lantaran geografi kampungku yang berhampiran dengan Pulau Pinang mungkin itu yang membuatkan kuih tradisi itu juga dikenali di kalangan sanak saudaraku di kampung.  Sayangnya, kuih yang lebih dikenali sebagai manisan ini semakin dilupai, malah ada generasi muda yang langsung tidak mengenalinya.  Abah memang pakar dalam membuat manisan itu.  Dapat kulihat kegirangan hatinya dari raut wajah yang sudah berkedut dengan kulit hitam manisnya.  Abah sudah pun berusia 72 tahun pada 2013.  Kudrat Abah tidak seperti dulu namun Abah gagahkan juga diri menunaikan hasrat Dato’ Saleem melalui aku dengan bantuan emak dan adik lelakiku Ariz yang baru sahaja menamatkan persekolahan dan sedang menunggu untuk panggilan ke Institut Pengajian Tinggi.  

Ini merupakan cebisan cerpen pertama yang saya hasilkan.  Daripada tugasan yang diberi ia telah menimbulkan minat untuk terus menulis dan menghasilkan karya-karya kreatif yang lain.  Semoga ini adalah titik permulaan untuk saya meneruskan minat dalam  dunia penulisan.

Karnival Inovasi Tani 2018







Karnival Inovasi Tani 2018 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Fakulti Pertanian UPM. Program ini telah diadakan pada 15 Disember 2018 hari Sabtu bertempat di Padang Kawad UPM.  Terdapat banyak aktiviti dan program yang dijalankan pada hari tersebut antaranya ialah Sarong Run 2018, UPM's Voice, Kembara Race, Busking, Bengkel Kraftangan dan Batik, Pameran Inovasi Tani serta foodtruck dan gerai-gerai jualan.

Kebanyakan aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil kursus kokurikulum berkredit di Pusat Kokurikulum UPM.  Pada hari tersebut saya telah menyertai aktiviti Sarong Run 2018.  Ini adalah kali pertama saya menyertai aktiviti larian sebegitu.  Walaupun agak memenatkan namun saya gembira kerana berjaya menamatkan larian.  Aktivit sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama rakan dan dapat melahirkan semangat berpasukan dan membina kerjasama dalam melaksanakan sesuatu program.

Laluan bagi aktiviti Sarong Run adalah sepanjang 5km bermula daripada Padang Kawad dan melalui laluan di Kolej Canselor, Kolej Kedua, Putra Food Court (PFC) , Pusat Kesihatan Universiti (PKU) Bukit Ekspo, tasik, Institut Biosains, Kolej 14, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan sehingga tamat di garisan permulaan.

Pada sebelah malam aktiviti diteruskan dengan pertandingan UPM's Voice yang melibatkan 12 orang peserta peringkat akhir.  Kesemua peserta mempunyai bakat yang luar biasa dan sangat hebat di atas pentas.  Persembahan daripada peserta diselang selikan dengan persembahan daripada kumpulan-kumpulan kursus kokurikulum yang terpilih antaranya persembahan silat, godang, caklempong, seni tari, tarian tradisional India serta jemputan terakhir adalah nyanyian daripada saudara Izzudin Qilat.  Keseluruhan program ini amat menarik dan sewajarnya diteruskan pada masa akan datang.




Jumaat, 14 Disember 2018

Bersangka Baik Dengan Allah


Sebagai hamba Allah kita diwajibkan untuk sentiasa husnuzon iaitu bersangka baik dengan segala ketentuan yang Allah kurniakan.  Sangkaan dengan Allah bersamaan dengan kepercayaan dan kepercayaan itu bersamaan dengan tauhid dan iman. Oleh itu, siapa yang bersangka buruk dengan Allah, maka dia tidak beriman dengan sempurna kepada Allah.

Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita telah pun ditetapkan sejak di Luh Mahfuz.  Begitu juga dengan ketetapan jodoh, ajal dan rezeki semuanya sudah tertulis. 

Marilah kita sama-sama sentiasa berbaik sangka dengan segala perancangan Allah kerana perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita.  Sekalipun apa yang berlaku kita rasakan begitu perit dan menyusahkan pastu di sebaliknya terselit hikmah yang kita tidak ketahui.

Sesungguhnya berprasangka baik pada Allah adalah termasuk sebaik-baiknya ibadah”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sedekah Al-Fatihah Untuk Kedua Ibu Bapa


Kebiasaannya, kita hanya membaca ayat suci Al-Fatihah kepada kedua orang tua yang telah meninggal dunia.  Hakikatnya, kita digalakkan untuk membaca Al-Fatihah untuk kedua ibu bapa sama ada yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. 

Selain itu doa untuk kedua ibu bapa juga jangan dilupakan.  Hikmah di sebaliknya amat banyak antaranya kita akan dimurahkan rezeki.  Ibu bapa pastinya tidak pernah lupa mendoakan anak-anak dan kita sebagai anak-anak juga perlu mendoakan mereka pada setiap hari.


Polis Evo 2







Filem ini memang tidak dapat disangkal lagi kehebatannya.  Hanya dalam masa 17 hari tayangan mereka berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta.  Suatu pencapaian yang amat membanggakan.

Filem terbitan Astro Shaw bersama Surya Citra Media (SCM) serta produksi oleh BlackFlag ini menampilkan Zizan Razak dan Shaheizy Sam sebagai teraju utama.  Di samping itu, terdapat ramai pelakon-pelakon hebat yang diundang menjayakan filem ini antaranya Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Mike Lucock dan Tanta Ginting.  Tidak kurang hebat juga lakonan mantap daripada Soffi Jikan, Ramdan Misnon, Syafie Naswip, Riz Amin, Hairul Azreen, Fir Rahman, Jeff Catz dan Dennis Yin. 

Filem yang diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew ini mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang dipaksa menjadi tebusan apabila kawasan tempat tinggal mereka ditawan pengganas.  Filem ini  berdurasi 125 minit dan masih lagi ditayangkan sehingga hari ini 14 Disember 2018.  Sepanjang tayangan boleh dikatakan hampir tiada babak yang membosankan.  Semua babak sangat mendebarkan dan sarat dengan emosi.  Filem ini menguji kemampuan Zizan Razak yang sinonim dengan watak humor dan dalam filem ini memerlukan beliau melakonkan watak yang penuh emosi dan adegan air mata.  Sejujurnya saya setelah dua kali menononton filem ini, saya boleh berikan 9/10.

Bagi sesiapa yang masih belum menonton bolehla pergi ke pawagam terdekat sekarang memang tidak mengecewakan.



Khamis, 13 Disember 2018

Ketentuan

Pejam celik pejam celik, semester satu sudah pun separuh ku tempuhi.  Semakin hari semakin berat rasa beban.  Namun, inilah jalan yang aku pilih dan Allah mengizinkan untuk aku mengharunginya.  Menyandang tugas sebagai seorang Setiausaha Pejabat selama dua belas tahun dan kini diberikan Cuti Belajar dan bertukar profesion menjadi seorang pelajar di Universiti Putra Malaysia.  Inila doa yang aku mohon saban hari selepas sahaja aku mengisi permohonan secara atas talian Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa.  Nah! Sekarang Allah makbulkan doaku dan aku kini bergelar mahasiswa UPM.

Syukur Allah permudahkan semua urusanku setelah Allah timpakan kepadaku ujian yang amat berat dan tidak pernah terfikir dan terjangka dek akalku.  Namun itulah perancangan Allah dan takdir hidupku.  Sakit dan perit yang ku hadapi hanya kepadaMu tempatku mengadu.  Setiap sujudku padaMu, aku memohon untuk Kau berikan aku kekuatan dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Allah Maha Pemurah, setelah ditimpakan hujan, diberikan pula pelangi untuk menceriakan hidupku.  Peluang untukku melanjutkan pelajaran dengan tajaan penuh dan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam ini adalah rezeki anak-anak yang Allah berikan melalui diriku hamba yang kerdil ini.  Setelah separuh semester ku harungi, tiada lain yang ku harapkan melainkan aku terus diberikan kekuatan dan semangat untuk menjalani kehidupan baru ini.  

Ahad, 11 November 2018

Semi Final Muzik Muzik 33




















Peminat seni muzik setiap tahun pasti ternanti-nanti acara berprestij iaitu Juara Lagu. Sebelum lagu yang layak dipertandingkan di dalam Program Juara Lagu, lagu yang terpilih perlu melalui peringkat semi final. Pada tahun ini 30 buah lagi disenaraikan untuk peringkat semi final dan persembahan diadakan secara mingguan. Semi final muzik muzik bagi minggu pertama telah diadakan pada Jumaat, 9 November 2018 disiarkan secara langsung di TV3 jam 9.00 malam.




Sebanyak 11 lagu dipertandingkan bagi minggu pertama ini. Antara lagu-lagunya ialah :





1. Sufian Suhaimi - Di Matamu


2. Qody - Dia


3. Ariff Bahran - Kata Akhirmu


4. Kugiran Masdo - Bercanda di Malam Indah


5. Aliff Satar - Sesungguhnya Aku


6. Liza Hanim - Mimpi


7. Dewi Seriestha - Seindah Berdua


8. Dayang Nurfaizah - Dia


9. Siti Sarah - Semakin


10. Amylea X Kaer - Tak Pernah Hilang


11. Ben Ladin - Hikayat Ben Ladin


Semua penyanyi telah memberikan persembahan yang terbaik. Keputusan masih belum dapat diumumkan berikutan masih terdapat 19 buah lagu yang masih belum membuat persembahan. Namun begitu, terdapat anugerah persembahan terbaik mingguan dan pemenang bagi minggu yang pertama ini diungguli oleh Siti Sarah dengan lagunya Semakin. Lagu itu ditulis sendiri oleh suami beliau yang menggunakan nama pena Mera Utama. Tahniah diucapkan kepada Siti Sarah dan suaminya Shuib. Sama-sama kita nantikan persembahan bagi minggu berikutnya.

Sabtu, 3 November 2018

Kromosom Tak Bertaraf






Kromosom Tak Bertaraf


Serebrum dilingkar imaginasi
Bujukan realisasi
Neuron deria tak berpaksi
Azazil sorak beraksi
Impuls dituruti
Lakrimal usah tangisi
Kepuraan mendominasi
Kiamat menghampiri


-Yatie Kamaruddin-
3 November 2018
Putrajaya

Sajak ini saya ciptakan bertemakan tentang masalah sosial yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat.  Masalah sosial ini tidak hanya tertumpu kepada satu golongan sahaja malahan ia mencakupi pelbagai peringkat masyarakat.  

Rabu, 31 Oktober 2018

Karma

     
       Karma

Janji sampai mati
Ikat tak rapi
Lerai di tepi
Berkecai hati menagih janji
Berlalu tanpa hati
Hati berbelah bahagi

Pergi cari dipuja
Lupakan janji lama
Janji baru terbina
Hati baru berbunga
Dunia kamu berdua
Tunggu saja karma dunia

Sajak ini saya ciptakan supaya kita sebagai manusia tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti orang lain.  Ini adalah kerana setiap apa yang kita lakukan akan diberikan balasan yang setimpal oleh Allah s.w.t.  Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa melakukan kebaikan supaya kebaikan itu dapat kembali kepada diri kita.

Topeng

      Topeng

Hadir meruntuh ikatan suci
Melerai kasih dambaan syurga
Menjauh amanah Sang Pencipta
Muncul menterbit pilu
Tawa meremuk sukma
Kebenaran ke jurang dusta

Manis tutur bersulam helah
Cinta bersulam nafsu
Nafsu bersulam nikmat
Nikmat bersulam dosa
Sedetik nikmat azab menanti
Indah dunia anganan

Tidak canggung bersama
Sandiwara kudus
Mengeliru khalayak pancaindera
Tidak Yang Maha Mengetahui
Bertopeng sampai bila?
Hingga rebak pentas penamat

-Yatie Kamaruddin-
31 Oktober 2018


Sajak ini saya ciptakan kerana di dunia ini terdapat ramai manusia yang sering bermuka-muka serta menyembunyikan kesalahan sendiri dan dengan mudah menuduh orang lain yang bersalah atas kesilapan yang mereka lakukan.  Sebagai hamba Allah kita seharusnya bersikap jujur dan sentiasa bersedia untuk mengakui kesilapan.  Selain itu, manusia yang sebegini juga sering melakukan dosa dan maksiat tanpa memikirkan azab yang akan diterima di akhirat kelak.  Sajak ini mengajak semua manusia untuk kembali ke jalan yang benar dan bertaubat selagi peluang masih diberi dan selagi kita masih bernafas di dunia ini.  

Selasa, 30 Oktober 2018

Kuburan Petobo

Kuburan Petobo


Senja berlabuh Jumaat beransur
Azan berlaung umat di mana?
Gegar Petobo berputar alam Mu
Hanya pada Mu teriakan ampunan
Gegunung pecah terbelah dua
Tanah keras air mengalir

Larian taubat tiada arah
Jerlus tanah menelan sekotah
Tiada nyawa selamat di bawah
Derai tangis penutup hari
Moga tiada dosa dibawa
Bersih diri menghadap Illahi


Sajak ini  saya ciptakan kerana begitu terkesan dan sedihnya hati ini dengan bencana berganda yang menimpa pelusuk daerah di Palu, Indonesia.  Semoga semua mangsa tenang dan diampunkan segala dosa tika bertemu Pencipta.

Isnin, 1 Oktober 2018

Cepat Benar Engkau Pergi

7 September 2018

Aku masih lagi bekerja pada tarikh ini.  Namun, cuti rehat sepanjang minggu telah dipohon berikutan aku perlu menghadiri Minggu Perkasa Putra UPM.  Hari ini, aku sebagai pelajar luar kampus mendapat pengecualian daripada menghadiri program Minggu Perkasa Putra.  Peluang yang ada aku manfaatkan untuk berehat di rumah.

Hampir terlupa...rakan-rakan sepejabat ada menjemput aku untuk hadir ke pejabat bagi memeriahkan aktiviti makan-makan mereka.  Sungguh aku rindu suasana makan dan minum beramai-ramai di pantry, bersembang tentang pelbagai isu daripada seberat-berat isu politik sehinggakan kepada isu melipat gunungan kain baju di rumah.  Ukhwah yang terjalin sangat erat walaupun ada masanya kami bermasam muka, gaduh-gaduh manja itu semua lumrah 'adik beradik'.

Jam 4.00 petang aku tiba di pejabat.  Agak lewat namun masa yang ada cukup kami melepaskan rindu.  Kehadiranku disambut dengan aroma donat yang baru digoreng oleh tukang masak terhebat yang mesra ku gelarkan Kak La.  Tanpa melengah masa sebiji donat yang baru dimasak ku jamah.  Pantry ini memang sentiasa meriah lagi-lagi bila ada acara masak memasak.  Ramah dan cekap sekali Kak La memasak sambil melayan kami menjamu selera lagak tak ubah seperti tuan rumah tatkala majlis keramaian.  Selang beberapa minit sejurus aku sampai, Encik Ramlee seorang Juruvideo yang sangat berpengalaman masuk ke pantry menyertai kami.  Susuk tubuh dan warna kulitnya mengingatkan aku kepada arwah abah yang aku rindui.  Dia menegur akan kehadiranku "eh! kamu ada?".  Mesra melayan sesiapa sahaja tak pernah lekang senyuman dari wajahnya.  Selesa aku bergaul dengannya walaupun jarak usia yang jauh berbeza.

Encik Ramlee ku lihat seperti biasa gurau sendanya sentiasa menghiburkan kami.  Namun pada hari itu, kami yang banyak mengenakannya.  Dia hanya menerima gurauan kami dengan senyuman tanpa balasan seperti kebiasaan.  Sempat rakan karibnya Haji Shaharudin meminta Encik Ramlee untuk membuatkan kopi O walhal telah tersedia 1 jag teh O di atas meja.  Encik Ramlee tanpa banyak bicara bangun dari kerusi dan terus membuat kopi O sebagaimana ppermintaan sahabatnya.  Baik sungguh Encik Ramlee bisikku di dalam hati.  Segelas kopi diberikan kepada Haji Shaharudin.  "Confirm ahli syurga!".  Ayat yang keluar dari mulut Haji.  Tersipu-sipu En.Ramlee bila kami semua "membahan"nya dek kebaikannya terhadap haji.  Tiada sepatah kata balasan yang diberikan selain daripada senyuman.  Dia mempelawa semua yang ada untuk merasa kopi yang dibuat.  Aku minum secawan, pahit....
Kelat diwajahku tak dapat disorokkan lantas Encik Ramlee menegur "pahit ye?" aku mengiyakan tetapi tetap sedap balasku demi menjaga hatinya. 

Jam menunjukkan 5.30 petang, aku meminta izin untuk pulang, rakan-rakan yang lain juga telah ramai yang pulang. 

5.00 pagi, telefonku berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.  Ku baca mesej yang menyatakan Encik Ramlee bin Ibrahim telah kembali ke rahmatullah.  Ramlee mana ye? getusku dalam hati.  Bukan Encik Ramlee...dia baru aku jumpa petang tadi.  Mataku pejam untukk menyambung tidur.  Namun hatiku berdebar.  Otakku terus berfikir siapakah yang bernama Ramlee di pejabat kami selain daripada Encik Ramlee yang ku kenali? Mana mungkin!  Tidak...silap orang ni...
Aku taip mesej bertanyakan kesahihan berita itu.  ternyata benar.  Ya Allah!  Air mata tak dapatku tahan.  Innalillahhiwainnailahirojiun...

Mata tak dapatku pejam kembali.  Hanya padaMu aku mengadu kesedihanku tatkala itu.  Encik Ramlee telah pergi menghadap Illahi asbab sakit jantung semoga rohmu diletakkan bersama-sama golongan hambaMu yang beriman.  Pagi Sabtu, aku bersama Kak La yang juga rakan karib Encik Ramlee ke rumah arwah untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. 

Rabu, 19 September 2018

Silat Warisan Bangsa

Pembabitan Yang Tak Dirancang

Melihat kain rentang "pengambilan ahli baru persatuan silat" yang digantung di lobi rumah, terdetik hati untuk menyambung ilmu persilatan yang telah lama terkubur sejak di Tingkatan 4.  Niat di hati hilang setelah pandangan kain rentang hilang dari pandangan.

Hari berganti hari, hari pendaftaran telah pun berlalu.  Namun kain rentang masih kekal di situ dan setiap kali terpandang, niat itu datang dan hilang.  Antara minat dan gerun, hati ini berbelah bahagi.  Suatu hari, aku dimakumkan bahawa pengambilan ahli baru masih lagi dibuka walaupun tarikh pendaftaran telah pun ditutup.

Aku dan anak-anak hadir pada hari latihan untuk mendaftar.  Namun, semangat ini tidak kuat untuk turut serta.  Ku biarkan anak-anak menjalani latihan, aku cuma duduk di tepi memantau, melihat dari kejauhan latihan nsilat yang mereka jalani.  Hati ini meronta-ronta untuk turut serta tapi.... melihat susuk-susuk tubuh yang menjalani latihan kebanyakkannya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja ku benamkan sedalamnya niat hati ini.

Saban minggu, anak-anak agak kurang keyakinan untuk menjalani latihan.  Anak-anak...jangan dibazirkan yuran yang telah dibayar, busana yang ditempah bukan sedikit duit yang dah dilaburkan.  Semangat terus diberikan, aku tetap menemani setiap minggu.  Sekurang-kurangnya tiga jam ku gunakan untuk menemani anak-anak menjalani latihan silat. 

Pembaziran waktu!

Demi mengisi tiga jam yang ku bazirkan di setiap hujung minggu, maka aku mengambil keputusan untuk turut serta menjadi ahli silat dan menjalani latihan bersama-sama dengan anak-anak.  Harapanku semoga anak-anak termotivasi apabila melihat kegigihan ibunya turut serta mengikuti latihan yang mereka lakukan.

Diawal pembabitan sememangnya agak janggal dengan tenaga pengajar yang seakan seusia dan lebih muda serta ahli-ahli yang rata-rata adalah dari kalangan kanak-kanak.  Demi ilmu dan minat yang lama terhenti ku redahi jua.

Alhamdulillah setelah beberapa bulan anak-anak dapat menyesuaikan diri dan tidak lagi teragak-agak dan takut-takut untuk hadir latihan.  Antara tujuan aku mennyertai silat dan menggalakkan anak-anak turut serta adalah disebabkan oleh faktor keselamatan di persekitaran yang kian mengundang bahaya.  Setidak-tidaknya, dengan adanya ilmu mempertahankan diri, dapat kami gunakan disaat-saat genting.  Bukanlah meminta untuk berlaku perkara yang tak diingini, tidak sama sekali tapi ini merupakan salah satu persediaan.

Ilmu persilatan juga dapat mendedahkan kita mengenai warisan bangsa Melayu yang kian dilupakan.  Anak-anak kini, sudah tidak didedahkan dengan warisan-waris.  Harapanku semoga warisan kita tetap kekal dikenali walaupun zaman beredar.  Anak-anak mudalah yang diharapkan untuk mewarisi segala peninggalan budaya nenek moyang kita.

Takkan Melayu Hilang Di Dunia.