Ahad, 16 Disember 2018

Halwa Maskat Abah




“Saya nak jemput Perdana Menteri untuk jamuan Hari Raya kita nanti. PM suka halwa maskat, kuih apa tu? siapa yang pandai buat?” bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku.  Baru dua bulan aku ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dan menjadi Setiausaha kepada Dato’ Saleem namun sudah masak benar aku dengan karakternya yang agak kalut.  Walaupun begitu, beliau merupakan seorang ketua yang tegas, lantang dan baik hati terhadap semua tanpa mengira jawatan.  Setiap pagi mesti ada sahaja kuih muih dan juadah yang dibawa untuk disajikan kepada kami.  Jika tiada apa-apa mesyuarat dan urusan yang penting, beliau lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran.  Soalan bertubi-tubi itu kujawab sepantas kilat, “Ayah saya pandai buat!”.  Kepakaran Abah dalam menghasilkan halwa maskat telah kuceritakan kepada Dato’ Saleem, tanpa ragu-ragu Dato’ Saleem menyatakan hasrat untuk menempah halwa maskat daripada Abah untuk dijamukan kepada Perdana Menteri Malaysia pada Jamuan Hari Raya Peringkat Jabatan.  
Teringat aku gembiranya Abah tatkala aku memberitahunya bahawa Dato’ Saleem hendak menempah kuih tradisional yang semakin dilupakan oleh masyarakat kini iaitu halwa maskat.  Halwa maskat adalah sejenis makanan tradisional masyarakat utara khususnya di Pulau Pinang.  Kampungku yang terletak di Parit Buntar, Perak merupakan penghujung Perak dan bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah.  Lantaran geografi kampungku yang berhampiran dengan Pulau Pinang mungkin itu yang membuatkan kuih tradisi itu juga dikenali di kalangan sanak saudaraku di kampung.  Sayangnya, kuih yang lebih dikenali sebagai manisan ini semakin dilupai, malah ada generasi muda yang langsung tidak mengenalinya.  Abah memang pakar dalam membuat manisan itu.  Dapat kulihat kegirangan hatinya dari raut wajah yang sudah berkedut dengan kulit hitam manisnya.  Abah sudah pun berusia 72 tahun pada 2013.  Kudrat Abah tidak seperti dulu namun Abah gagahkan juga diri menunaikan hasrat Dato’ Saleem melalui aku dengan bantuan emak dan adik lelakiku Ariz yang baru sahaja menamatkan persekolahan dan sedang menunggu untuk panggilan ke Institut Pengajian Tinggi.  

Ini merupakan cebisan cerpen pertama yang saya hasilkan.  Daripada tugasan yang diberi ia telah menimbulkan minat untuk terus menulis dan menghasilkan karya-karya kreatif yang lain.  Semoga ini adalah titik permulaan untuk saya meneruskan minat dalam  dunia penulisan.

Karnival Inovasi Tani 2018







Karnival Inovasi Tani 2018 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Fakulti Pertanian UPM. Program ini telah diadakan pada 15 Disember 2018 hari Sabtu bertempat di Padang Kawad UPM.  Terdapat banyak aktiviti dan program yang dijalankan pada hari tersebut antaranya ialah Sarong Run 2018, UPM's Voice, Kembara Race, Busking, Bengkel Kraftangan dan Batik, Pameran Inovasi Tani serta foodtruck dan gerai-gerai jualan.

Kebanyakan aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil kursus kokurikulum berkredit di Pusat Kokurikulum UPM.  Pada hari tersebut saya telah menyertai aktiviti Sarong Run 2018.  Ini adalah kali pertama saya menyertai aktiviti larian sebegitu.  Walaupun agak memenatkan namun saya gembira kerana berjaya menamatkan larian.  Aktivit sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama rakan dan dapat melahirkan semangat berpasukan dan membina kerjasama dalam melaksanakan sesuatu program.

Laluan bagi aktiviti Sarong Run adalah sepanjang 5km bermula daripada Padang Kawad dan melalui laluan di Kolej Canselor, Kolej Kedua, Putra Food Court (PFC) , Pusat Kesihatan Universiti (PKU) Bukit Ekspo, tasik, Institut Biosains, Kolej 14, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dan sehingga tamat di garisan permulaan.

Pada sebelah malam aktiviti diteruskan dengan pertandingan UPM's Voice yang melibatkan 12 orang peserta peringkat akhir.  Kesemua peserta mempunyai bakat yang luar biasa dan sangat hebat di atas pentas.  Persembahan daripada peserta diselang selikan dengan persembahan daripada kumpulan-kumpulan kursus kokurikulum yang terpilih antaranya persembahan silat, godang, caklempong, seni tari, tarian tradisional India serta jemputan terakhir adalah nyanyian daripada saudara Izzudin Qilat.  Keseluruhan program ini amat menarik dan sewajarnya diteruskan pada masa akan datang.




Jumaat, 14 Disember 2018

Bersangka Baik Dengan Allah


Sebagai hamba Allah kita diwajibkan untuk sentiasa husnuzon iaitu bersangka baik dengan segala ketentuan yang Allah kurniakan.  Sangkaan dengan Allah bersamaan dengan kepercayaan dan kepercayaan itu bersamaan dengan tauhid dan iman. Oleh itu, siapa yang bersangka buruk dengan Allah, maka dia tidak beriman dengan sempurna kepada Allah.

Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita telah pun ditetapkan sejak di Luh Mahfuz.  Begitu juga dengan ketetapan jodoh, ajal dan rezeki semuanya sudah tertulis. 

Marilah kita sama-sama sentiasa berbaik sangka dengan segala perancangan Allah kerana perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita.  Sekalipun apa yang berlaku kita rasakan begitu perit dan menyusahkan pastu di sebaliknya terselit hikmah yang kita tidak ketahui.

Sesungguhnya berprasangka baik pada Allah adalah termasuk sebaik-baiknya ibadah”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sedekah Al-Fatihah Untuk Kedua Ibu Bapa


Kebiasaannya, kita hanya membaca ayat suci Al-Fatihah kepada kedua orang tua yang telah meninggal dunia.  Hakikatnya, kita digalakkan untuk membaca Al-Fatihah untuk kedua ibu bapa sama ada yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. 

Selain itu doa untuk kedua ibu bapa juga jangan dilupakan.  Hikmah di sebaliknya amat banyak antaranya kita akan dimurahkan rezeki.  Ibu bapa pastinya tidak pernah lupa mendoakan anak-anak dan kita sebagai anak-anak juga perlu mendoakan mereka pada setiap hari.


Polis Evo 2







Filem ini memang tidak dapat disangkal lagi kehebatannya.  Hanya dalam masa 17 hari tayangan mereka berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta.  Suatu pencapaian yang amat membanggakan.

Filem terbitan Astro Shaw bersama Surya Citra Media (SCM) serta produksi oleh BlackFlag ini menampilkan Zizan Razak dan Shaheizy Sam sebagai teraju utama.  Di samping itu, terdapat ramai pelakon-pelakon hebat yang diundang menjayakan filem ini antaranya Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Mike Lucock dan Tanta Ginting.  Tidak kurang hebat juga lakonan mantap daripada Soffi Jikan, Ramdan Misnon, Syafie Naswip, Riz Amin, Hairul Azreen, Fir Rahman, Jeff Catz dan Dennis Yin. 

Filem yang diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew ini mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang dipaksa menjadi tebusan apabila kawasan tempat tinggal mereka ditawan pengganas.  Filem ini  berdurasi 125 minit dan masih lagi ditayangkan sehingga hari ini 14 Disember 2018.  Sepanjang tayangan boleh dikatakan hampir tiada babak yang membosankan.  Semua babak sangat mendebarkan dan sarat dengan emosi.  Filem ini menguji kemampuan Zizan Razak yang sinonim dengan watak humor dan dalam filem ini memerlukan beliau melakonkan watak yang penuh emosi dan adegan air mata.  Sejujurnya saya setelah dua kali menononton filem ini, saya boleh berikan 9/10.

Bagi sesiapa yang masih belum menonton bolehla pergi ke pawagam terdekat sekarang memang tidak mengecewakan.



Khamis, 13 Disember 2018

Ketentuan

Pejam celik pejam celik, semester satu sudah pun separuh ku tempuhi.  Semakin hari semakin berat rasa beban.  Namun, inilah jalan yang aku pilih dan Allah mengizinkan untuk aku mengharunginya.  Menyandang tugas sebagai seorang Setiausaha Pejabat selama dua belas tahun dan kini diberikan Cuti Belajar dan bertukar profesion menjadi seorang pelajar di Universiti Putra Malaysia.  Inila doa yang aku mohon saban hari selepas sahaja aku mengisi permohonan secara atas talian Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa.  Nah! Sekarang Allah makbulkan doaku dan aku kini bergelar mahasiswa UPM.

Syukur Allah permudahkan semua urusanku setelah Allah timpakan kepadaku ujian yang amat berat dan tidak pernah terfikir dan terjangka dek akalku.  Namun itulah perancangan Allah dan takdir hidupku.  Sakit dan perit yang ku hadapi hanya kepadaMu tempatku mengadu.  Setiap sujudku padaMu, aku memohon untuk Kau berikan aku kekuatan dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Allah Maha Pemurah, setelah ditimpakan hujan, diberikan pula pelangi untuk menceriakan hidupku.  Peluang untukku melanjutkan pelajaran dengan tajaan penuh dan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam ini adalah rezeki anak-anak yang Allah berikan melalui diriku hamba yang kerdil ini.  Setelah separuh semester ku harungi, tiada lain yang ku harapkan melainkan aku terus diberikan kekuatan dan semangat untuk menjalani kehidupan baru ini.