“Saya nak jemput Perdana Menteri untuk jamuan Hari Raya kita nanti. PM suka halwa maskat, kuih apa tu? siapa yang pandai buat?” bertubi-tubi soalan diajukan kepadaku. Baru dua bulan aku ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dan menjadi Setiausaha kepada Dato’ Saleem namun sudah masak benar aku dengan karakternya yang agak kalut. Walaupun begitu, beliau merupakan seorang ketua yang tegas, lantang dan baik hati terhadap semua tanpa mengira jawatan. Setiap pagi mesti ada sahaja kuih muih dan juadah yang dibawa untuk disajikan kepada kami. Jika tiada apa-apa mesyuarat dan urusan yang penting, beliau lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Soalan bertubi-tubi itu kujawab sepantas kilat, “Ayah saya pandai buat!”. Kepakaran Abah dalam menghasilkan halwa maskat telah kuceritakan kepada Dato’ Saleem, tanpa ragu-ragu Dato’ Saleem menyatakan hasrat untuk menempah halwa maskat daripada Abah untuk dijamukan kepada Perdana Menteri Malaysia pada Jamuan Hari Raya Peringkat Jabatan.
Teringat aku gembiranya Abah tatkala aku memberitahunya bahawa Dato’ Saleem hendak menempah kuih tradisional yang semakin dilupakan oleh masyarakat kini iaitu halwa maskat. Halwa maskat adalah sejenis makanan tradisional masyarakat utara khususnya di Pulau Pinang. Kampungku yang terletak di Parit Buntar, Perak merupakan penghujung Perak dan bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah. Lantaran geografi kampungku yang berhampiran dengan Pulau Pinang mungkin itu yang membuatkan kuih tradisi itu juga dikenali di kalangan sanak saudaraku di kampung. Sayangnya, kuih yang lebih dikenali sebagai manisan ini semakin dilupai, malah ada generasi muda yang langsung tidak mengenalinya. Abah memang pakar dalam membuat manisan itu. Dapat kulihat kegirangan hatinya dari raut wajah yang sudah berkedut dengan kulit hitam manisnya. Abah sudah pun berusia 72 tahun pada 2013. Kudrat Abah tidak seperti dulu namun Abah gagahkan juga diri menunaikan hasrat Dato’ Saleem melalui aku dengan bantuan emak dan adik lelakiku Ariz yang baru sahaja menamatkan persekolahan dan sedang menunggu untuk panggilan ke Institut Pengajian Tinggi.
Ini merupakan cebisan cerpen pertama yang saya hasilkan. Daripada tugasan yang diberi ia telah menimbulkan minat untuk terus menulis dan menghasilkan karya-karya kreatif yang lain. Semoga ini adalah titik permulaan untuk saya meneruskan minat dalam dunia penulisan.











